Wednesday, December 21, 2011

Bidang Morfologi

Bidang Morfologi


Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolong kata. Struktur kata bermaksud susunan bunyi ujaran atau lambang yang menjadi unit tatabahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa sama ada bentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan kata pula ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan latar fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.

Definisi Morfologi

Menurut Kamarudin Hj.Husin dan rakan –rakannya dalam buku Pengajian Melayu 1, Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa,1997 : 83, morfologi ialah disiplin ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata.Bentuk kata ini merujuk bentuk bunyi atau ujaran sesuatu kata itu.

Manakala Abdullah Hassan juga menyatakan definisi morfologi dalam buku Linguistik Am,2007 : 117 , morfologi ialah bidang linguistik yang mengkaji bagaimana perkataan dibina.Kajian ini dilakukan terhadap unsur-unsur yang membentuk perkataan, proses-proses membentuk perkataan dan bentuk – bentuk perkataan ialah morfem dan kata.

Nik Safiah Karim dan rakan – rakannya dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu , 2004 :43 berpendapat morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur , bentuk dan penggolongan kata.Dengan struktur kata dimaksudkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang yang turut menjadi unit bahasa yang bermakna.

Sehubungan itu, Siti Hajar Hj.Husin Abdul Aziz, dalam bukunya Tatabahasa Bahasa Melayu ( Perkataan ), 1996 : 17 telah menyatakan teori morfologi iaitu morfologi satu cabang daripada ilmu linguistik yang mengkaji soal – soal yang berkaitan dengan kemungkinan adanya perubahan kata, golongan kata, dan makna kata akibat daripada perubahan bentuk kata.Morfologi mengkaji selok –belok bentuk kata dan fungsi gramatik atau semantik perubahan kata itu.Beliau juga telah merumuskan bahawa morfologi adalah bidang mengkaji bagaimana morfem – morfem itu bergabung untuk membentuk ayat.



Menurut Raminah Hj.Sabran dan Rahim Syam dalam buku Kajian Bahasa Untuk Pelatih Maktab Perguruan ,1985 :152, bidang morfologi merupakan bidang dalam kajian bahasa yang mengkaji tentang perkataan dan cara –cara pembentukkannya.O`Grady & Guzman juga menyatakan pendapat pada tahun 2000 :121 dalam buku yang disediakan oleh Radiah Yusoff dan rakan – rakannya,2004:36 iaitu morfologi adalah merujuk kepada kajian tentang pembentukan kata dan struktur kata.

Manakala ahli bahasa juga iaitu Leonard Bloomfield dalam bukunya Language yang telah diterjemahkan oleh Alias Mahpol, Kamaruzaman Mahayiddin dan Noor Ein Mohd.Noor,menyatakan bahawa “Morfologi adalah konstruksi yang mengandungi bentuk – bentuk terikat antara konsituen – konsituennya.”“Morfologi meliputi konstruksi kata – kata dan bahagian kata”.

Friday, December 16, 2011

SBPA HANYA ANIAYA KAKITANGAN AWAM

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan BN diyakini bukanlah satu sistem yang baik, sebaliknya akan menganiaya kakitangan sektor awam.

Keyakinan itu disandarkan kepada beberapa faktor, terutama berkaitan sistem pemarkahan prestasi kakitangan awam yang pasti terdedah dengan pelbagai bentuk manipulasi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, menerusi sistem baru itu, pemarkahan prestasi kakitangan awam akan dinilai oleh kakitangan atasan, tetapi penilaian tersebut diyakini tidak akan berlaku dengan adil.

Menurutnya, meskipun penilaian prestasi itu sesuatu yang baik bagi menggalakkan perkembangan prestasi di kalangan kakitangan awam, tetapi penilaian tersebut diyakini bukan sekadar berdasarkan prestasi, sebaliknya atas faktor-faktor lain.

Katanya, situasi itu akan menjadikan mereka yang benar-benar berprestasi dan berintegriti tidak akan dinilai sebagai berprestasi, sebaliknya mereka yang bijak 'membodek boss' pula yang akan diutamakan.

"Saya yakin itulah yang akan berlaku. Jadi pada saya, sistem SBPA itu tidak wajar diperkenalkan oleh kerajaan kerana ia pasti akan menimbulkan pelbagai kecelaruan dalam sektor awam," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Sistem SBPA yang akan dilaksanakan oleh kerajaan itu adalah bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digunakan sekarang seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam SBPA itu banyak perubahan yang akan dilakukan dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya penjawat awam, dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan berasaskan prestasi kerja.

Antara lain yang terkandung dalam sistem tersebut termasuk mewujudkan dasar pemisah bagi penjawat awam berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan jawatan.

Dalam sistem baru itu juga, pembentukan gaji sebaris digunakan dengan diwujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lama selain gaji maksimum bagi gred yang lebih tinggi.

Bagi penjawat awam yang menerima opsyen SBPA akan menerima kenaikan gaji tahunan antara RM80 hingga RM320 dan faedah kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus. Kerajaan juga mengumumkan untuk melanjutkan usia persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Bagi golongan dalam kumpulan guru atau gred gaji DG dengan tempoh bagi kenaikan gred antara DG41 ke DG44 dan DG44 ke DG48 telah dikurangkan kepada 8 tahun sahaja, berbanding sebelum ini selama 10 tahun untuk kenaikan gred dalam jawatan perguruan.

Menurut Mahfuz, setelah diteliti opsyen SBPA dengan menyeluruh, ternyata penilaian atau pemarkahan prestasi kakitangan akan dibuat dengan 3 peringkat, manakala mereka yang dicatatkan markah bawah 70 peratus akan dinasihatkan bersara atau dipersarakan.

"Sistem pemarkahan sememangnya amat jelas terdedah kepada manipulasi. Mereka yang akan diberikan markah tinggi itu nanti diyakini akan turut didasarkan kepada sokongan mereka terhadap parti Kerajaan BN yang memerintah.

"Sekiranya mereka didapati menyokong pembangkang, mereka pasti akan diberikan markah prestasi yang rendak, walaupun merekalah sebenarnya yang betul-betul berprestasi dan wajar diutamakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau memberikan contoh kepada nasib buruk yang menimpa beberapa orang guru yang sememangnya cukup berwibawa tetapi menyokong pembangkang yang bukan sahaja dinafikan kenaikan pangkat, tetapi telah ditukar ke kawasan pedalaman.

Katanya, begitu juga dengan nasib yang telah menimpa Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim, sehingga telah diturunkan pangkat sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) berkuat kuasa 1 Mei lalu.

"Walaupun Datuk Judin sememangnya cukup bertanggungjawab, berprestasi dan berintegriti, tetapi disebabkan sikapnya yang tidak menyokong tindakan-tindakan yang tidak elok para pemimpin BN, beliau akhir telah diturunkan pangkat.

"Saya yakin kejadian seperti itu pasti akan berlaku dengan berleluasa nanti apabila sistem baru itu digunakan, sehingga menyebabkan banyak kakitangan awam yang teraniaya," tegas beliau

Beberapa opsyen SPBA dibantah

KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam membantah pelaksanaan beberapa opsyen Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang didakwanya kurang jelas, selain tempoh terlalu singkat diberikan kepada penjawat awam untuk menerima tawaran itu.

Serentak itu, kongres berkenaan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani surat tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi SBPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya skim berkenaan.
Keputusan itu dibuat hasil undian sebulat suara 125 perwakilan CUEPACS seluruh negara yang berhimpun selama dua hari bermula kelmarin membincangkan isu pelaksanaan SBPA pada Mesyuarat Kongres Khas yang berlangsung di Hotel Putra Brasmana, di sini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata keputusan membantah opsyen SBPA dibuat pada mesyuarat itu berdasarkan kepada pertimbangan wajar 125 perwakilan, sebagai mewakili isi hati 1.4 juta penjawat awam seluruh negara.

Katanya, lima inti pati digariskan melalui bantahan untuk dimajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka ditemui pada 19 Disember ini, antara lain meliputi desakan pembatalan Exit Policy selain penjelasan kedudukan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus seperti diumumkan melalui SBPA baru-baru ini.

“Buat masa sekarang, kita membantah pelaksanaan beberapa opsyen SBPA dan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatanganinya terlebih dulu sebelum rundingan antara CUEPACS dan Perdana Menteri diadakan.
“Kita akan tetapkan temu janji pada 19 Disember ini, yang mana semua 125 perwakilan kongres seluruh

negara dijangka menemui Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya bagi membincangkan secara terperinci permintaan serta desakan CUEPACS dalam SBPA,” katanya.

SBPA diumumkan Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu dijangka membawa pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam yang dilaksanakan mulai tahun depan dengan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

Ditanya mengenai lima tuntutan terbabit, Omar berkata selain pembatalan Exit Policy dan penjelasan mengenai kedudukan pelarasan gaji, CUEPACS turut mendakwa tiada sebarang rundingan bersama diadakan antara kongres itu dan JPA yang dilihat memungkinkan wujudnya unsur berat sebelah.

“Kita juga nasihatkan pihak lain yang tiada kaitan dengan CUEPACS supaya tidak campur tangan dalam soal perjuangan kongres kerana ini hak kami untuk pertahankan kepentingan semua penjawat awam,” katanya.

SBPA : CUEPACS BANTAH, ARAH STAF KERAJAAN TIDAK TANDATANGAN BORANG OPSYEN

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Cuepacs hari ini mengambil pendirian membantah pelaksanaan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menggesa kakitangan awam jangan menandatangani borang penerimaan skim gaji baru itu sehingga pihaknya mengadakan pertemuan dengan perdana menteri minggu depan.

Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata pihaknya bukan menolak SBPA tetapi membantah pelaksanan opsyen kerana tidak cukup maklumat dan kurang penjelasan khususnya perubahan gaji.

“Kami memutuskan untuk membantah pelaksanaan opsyen SBPA, kita mahu jumpa perdana menteri pada 19 Disember ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider di Perlis.

Seramai 1.4 juta kakitangan awam diberi masa dua minggu mulai esok untuk menerima opsyen sistem SBPA.

Azih berkata pihaknya akan menjelaskan kepada perdana menteri alasan-alasan pihaknya membantah pelaksanaan opsyen dan beberapa perkara lain yang berkaitan.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adakan program jelajah, tetapi tidak memberikan penerangan dan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan SBPA, carta perubahan gaji tidak diberikan, tiada maklumat mengenai dasar pemisah atau exit policy.

“Kakitangan awam yang menghadiri taklimat diberi borang opsyen dan diminta tandatangan terus, walaupun tidak faham dan kurang maklumat,” kata beliau.

Cuepacs mengadakan mesyuarat kongres di Kuala Perlis hari ini bagi membincangkan pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Opsyen menerima SBPA akan dibuka mulai esok. Ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati antara lain berkaitan peratusan kenaikan gaji dan dasar pemisah atau ‘exit policy’.

Pekeliling SBPA dikeluarkan 7 Disember lalu.

Semalam, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, “(mesyuarat) kongres (di Kuala Perlis) khusus membincangkan SBPA kerana taklimat JPA kepada kami hanya menyentuh perkara dasar.”

“Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan,” katanya.

Katanya, tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.

“Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas,” kata Omar.

Tambah beliau, hasil taklimat Cuepacs dalam jelajahnya ke sembilan buah negeri sehingga hari ini ramai anggota-anggotanya menyatakan mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.

Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, tambah beliau